Friday, April 16, 2010

Pagi ini saya membaca Berita Harian tentang Gadis Kerdil raih kejayaan, satu lagi cerita motivasi tentang kejayaan. walaupun dia hanya seorang gadis kerdil namun kegigihan dan kesungguhan, kini dia mendapat Diploma Perakaunan Politeknik Kota Kinabalu. Saya share berita ini dengan anda semua.


Gadis kerdil raih kejayaan
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2010/04/16
EMY ARIDAH (tengah) menerima ucapan tahniah daripada ibu, Simpul Jumat dan bapa, Aripin Kadir, selepas menerima diploma sempena Konvokesyen PKK Ke-14, di Sepanggar, semalam.


SEPANGGAR: Dengan ketinggian 98 sentimeter, Emy Aridah Aripin, 22, lali dengan pelbagai sindiran, renungan dan cemuhan masyarakat, ditambah latar belakang keluarganya yang miskin.Bagaimanapun, keperitannya lenyap sebaik gadis berasal dari Kampung Inuman, Weston, Beaufort, bangga menggenggam Diploma Perakaunan pada Konvokesyen Politeknik Kota Kinabalu (PKK) ke-14 di sini, semalam.

Ditemui Berita Harian selepas majlis itu, Emy Aridah yang menamatkan pengajiannya tahun lalu berkata, kekurangan dari segi fizikal pendorong baginya meneruskan usaha selama ini. Anak sulung lima beradik itu bercadang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini untuk mencapai cita-cita sebagai akauntan bertauliah. “Saya sudah biasa diejek sebab keadaan fizikal. Mereka melihat saya kerdil, tetapi yang penting bagi saya ialah kita perlu berjiwa besar. Saya tidak lihat kekurangan diri sebagai penghalang,” katanya. Majlis penyampaian diploma disempurnakan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) cawangan Sabah, Datuk Awang Buhtamam Awang Mahmun.

Penyampaian diploma berlangsung dalam dua sesi dengan sesi pertama, kelmarin disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah. Emy Aridah berkata, kehidupannya sebagai anak nelayan miskin memberi kekuatan kepadanya mengubah kehidupan keluarga menerusi kejayaan dalam bidang pelajaran. Bapanya, Aripin Kadir, 47, dan ibunya, Simpul Jumat, 42, turut berkongsi kebanggaan dengan kejayaan anak mereka. Simpul berkata, Emy Aridah cekal dalam mendapatkan apa yang dimahukannya. "Sebagai ibu, saya hanya mampu berdoa semoga masa depannya cerah dan cita-cita tingginya tercapai, tidak kiralah bagaimana sekalipun bentuk tubuh anak kami ini," katanya
-BERITA HARIAN, 16 APRIL 2010
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Gadiskerdilraihkejayaan/Article

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails