Oleh ZULHISHAM ISHAK
utusansarawak@utusan.com.my
JOEPININ Miki menyusun barang-barang cenderamata dan kraf tangan di gerainya di Pekan Nabalu, Tuaran, Sabah. - UTUSAN/Ghazali Basri
TUARAN 14 April - Jika ke Gunung Kinabalu atau pekan Kundasang melalui Jalan Ranau-Kota Kinabalu, dekat sini, tidak sah rasanya kalau tidak singgah ke Pekan Nabalu. Sama ada singgah untuk menjamu selera, membeli buah-buahan dan sayuran segar atau menikmati pemandangan kaki gunung yang indah, semua itu adalah satu tarikan di pekan tersebut.
Selain semua keistimewaan itu, Pekan Nabalu juga terkenal dengan deretan gerai menjual cenderamata dan kraf tangan yang bukan sahaja banyak pilihan tetapi juga sangat murah.
Ketika ini, terdapat lebih 100 buah gerai di pekan berkenaan yang menjual barangan tersebut iaitu kira-kira 20 kedai di tepi jalan dan lebih 40 gerai lagi di sebuah kedai panjang khas.
Jumlah itu termasuk kira-kira 40 gerai baru atas nama Kiosk Program Usahawan Mara beroperasi hampir setahun lalu yang semuanya diusahakan oleh bumiputera setempat.
Perkembangan berkenaan menjadikan pekan Nabalu yang terletak antara daerah Tuaran dan Kota Belud semakin popular sebagai pusat cenderamata dan kraf tangan.
Bagaimanapun, keadaan itu yang diharap dapat menarik lebih ramai pelancong tidak menjadi kenyataan sebaliknya menjadi tempat lambakan barangan berkenaan.
Salah seorang peniaga, Lasuyah Tinggo, 44, meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak menambah lagi bilangan gerai menjual cenderamata dan kraf tangan.
Katanya, ini kerana bilangan gerai yang menjual barangan itu sudah terlalu banyak dan mereka terpaksa bersaing antara satu sama lain untuk melariskan barangan masing-masing.
"Kadang-kadang kita lihat jumlah peniaga lebih ramai daripada pengunjung yang datang ke sini," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Ibu kepada empat anak itu berkata, rata-rata peniaga di kawasan tersebut adalah golongan suri rumah dan ada di antara mereka memiliki dua atau tiga gerai sekali gus.
Peniaga lain, Mary Lai, 30, mendakwa kadang-kadang dalam sehari dia tidak memperoleh pendapatan bukan sahaja kerana gerai yang banyak tetapi juga ketiadaan pengunjung.
Menurutnya, gerai tersebut yang dibuka dari pukul 8.30 pagi hingga 6 petang, biasanya menerima kedatangan pelanggan yang ramai antara pukul 9 pagi hingga 11 tengah hari.
"Tetapi belum tentu pengunjung akan membelinya, pada masa tertentu bas persiaran akan singgah ke pekan ini dan kadang-kadang kita dapat durian runtuh walaupun terpaksa bersaing," katanya.
Ibu kepada dua anak itu berkata, pekan tersebut lazimnya lengang pada sebelah petang dan suasana itu membuatkan segelintir peniaga menutup gerai lebih awal untuk pulang.
Rakannya, Lucia Saikin, 45, mencadangkan kerajaan negeri supaya membangun dan meningkatkan kemudahan pekan itu sebagai usaha menarik lebih ramai pengunjung.
Lucia berkata, pembinaan hotel dan lebih banyak kedai makan perlu dilakukan kerana ketika ini hanya terdapat beberapa kedai makan dan tidak ada sebarang rumah penginapan.
"Dengan cara ini, kita percaya lebih ramai akan datang ke sini kerana disediakan kemudahan yang cukup. Ia secara tidak langsung akan merancakkan lagi ekonomi pekan ini," ujarnya.
Dia yakin, melalui cara tersebut, pekan Nabalu akan semakin dikenali kerana sebelum ini memang sudah terkenal sebagai tempat pengeluar nenas utama di negeri ini.
Bagi Joepinin Miki, 31, membantu peniaga-peniaga di situ adalah sama seperti membantu penduduk di luar bandar daerah tersebut dan kawasan sekitarnya.
Ini kerana katanya, kebanyakan cenderamata dan kraf tangan adalah hasil kerja penduduk kampung yang berusaha menambah sumber pendapatan dengan cara itu.
"Terdapat peniaga yang mengambil hasil orang kampung secara terus di kampung-kampung dan ada juga yang menghantar terus ke pekan ini pada masa tertentu.
"Sekiranya peniaga di sini dapat untung penduduk kampung juga akan turut merasai manfaatnya walaupun tidak seberapa," kata bapa kepada seorang anak itu.
Menurutnya, para peniaga di situ mendapat bantuan Majlis Amanah Rakyat (Mara) selain mendapat pinjaman modal RM2,000 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Semua peniaga di situ katanya, dari kampung-kampung berdekatan pekan itu dan selain meniaga mereka juga berkebun sambil menanam padi bukit untuk menambah pendapatan.
Untuk itu katanya, adalah wajar sekiranya peniaga-peniaga tersebut dibantu kerana kebanyakan mereka berpendapatan rendah dan masih hidup di bawah paras kemiskinan.
-UTUSAN, 15 APRIL 2010
No comments:
Post a Comment