Friday, April 16, 2010

Pagi ini saya membaca Berita Harian tentang Gadis Kerdil raih kejayaan, satu lagi cerita motivasi tentang kejayaan. walaupun dia hanya seorang gadis kerdil namun kegigihan dan kesungguhan, kini dia mendapat Diploma Perakaunan Politeknik Kota Kinabalu. Saya share berita ini dengan anda semua.


Gadis kerdil raih kejayaan
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2010/04/16
EMY ARIDAH (tengah) menerima ucapan tahniah daripada ibu, Simpul Jumat dan bapa, Aripin Kadir, selepas menerima diploma sempena Konvokesyen PKK Ke-14, di Sepanggar, semalam.


SEPANGGAR: Dengan ketinggian 98 sentimeter, Emy Aridah Aripin, 22, lali dengan pelbagai sindiran, renungan dan cemuhan masyarakat, ditambah latar belakang keluarganya yang miskin.Bagaimanapun, keperitannya lenyap sebaik gadis berasal dari Kampung Inuman, Weston, Beaufort, bangga menggenggam Diploma Perakaunan pada Konvokesyen Politeknik Kota Kinabalu (PKK) ke-14 di sini, semalam.

Ditemui Berita Harian selepas majlis itu, Emy Aridah yang menamatkan pengajiannya tahun lalu berkata, kekurangan dari segi fizikal pendorong baginya meneruskan usaha selama ini. Anak sulung lima beradik itu bercadang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini untuk mencapai cita-cita sebagai akauntan bertauliah. “Saya sudah biasa diejek sebab keadaan fizikal. Mereka melihat saya kerdil, tetapi yang penting bagi saya ialah kita perlu berjiwa besar. Saya tidak lihat kekurangan diri sebagai penghalang,” katanya. Majlis penyampaian diploma disempurnakan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) cawangan Sabah, Datuk Awang Buhtamam Awang Mahmun.

Penyampaian diploma berlangsung dalam dua sesi dengan sesi pertama, kelmarin disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah. Emy Aridah berkata, kehidupannya sebagai anak nelayan miskin memberi kekuatan kepadanya mengubah kehidupan keluarga menerusi kejayaan dalam bidang pelajaran. Bapanya, Aripin Kadir, 47, dan ibunya, Simpul Jumat, 42, turut berkongsi kebanggaan dengan kejayaan anak mereka. Simpul berkata, Emy Aridah cekal dalam mendapatkan apa yang dimahukannya. "Sebagai ibu, saya hanya mampu berdoa semoga masa depannya cerah dan cita-cita tingginya tercapai, tidak kiralah bagaimana sekalipun bentuk tubuh anak kami ini," katanya
-BERITA HARIAN, 16 APRIL 2010
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Gadiskerdilraihkejayaan/Article

Thursday, April 15, 2010

Hari ini saya membaca berita di Utusan tentang "Lagi Kanak-Kanak Mati Di dera". Tak sudah-sudah kes penderaan sejak akhir-akhir ini, apa yang sudah terjadi dalam masyarakat kita sekarang. Saban minggu bila kita menonton berita dan membaca surat khabar pasti ada kes penderaan di laporkan. Kita renungi lah berita yang saya baca hari ini dan saya kongsikan kepada anda semua.

Lagi kanak-kanak mati didera
Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my
SEORANG daripada anggota keluarga mangsa tidak dapat menahan tangisan semasa mengunjungi mangsa di rumah keluarganya di Pangsapuri Bayu Taman Bukit Serdang, semalam.

KUALA LUMPUR 14 April - Kisah kematian dua kanak-kanak malang, K. Harreswaral, 1, dan Syafiah Humairah Sahari, 3, akibat didera secara sadis pada Mac dan Februari lalu masih segar di ingatan.
Namun, ia seakan-akan tidak mencetuskan keinsafan apabila kejadian sama berulang dan kali ini membabitkan kanak-kanak perempuan Lee Swee Hui yang berusia tiga tahun.Cukup menyayat hati, pada tubuh mayat kanak-kanak tidak berdosa itu terdapat lebih daripada 30 kesan lebam dan luka di badan, dahi serta pipi.Siasatan awal polis mendapati kecederaan pada Swee Hui dipercayai akibat dipukul dengan objek keras.
 Menurut doktor, lebam-lebam dialami mangsa merupakan kesan kecederaan yang dianggarkan baru seminggu lalu.Swee Hui dihantar ke Poliklinik Komuniti Seri Kembangan, dekat sini oleh bapa tirinya pada pukul 7.45 pagi setelah mendapati dia tidak sedarkan diri.Mangsa disahkan meninggal dunia di situ dan bapa tirinya, seorang penganggur yang berusia 27 tahun ditahan selepas pihak hospital menghubungi polis.Ibu kandung Swee Hui, 24, seorang suri rumah, turut ditahan di pangsapuri di Jalan BS 14/2A, Bukit Serdang beberapa jam kemudian untuk membantu siasatan.
 Difahamkan, mangsa selama ini dijaga oleh pengasuh dan pasangan tersebut hanya mula menjaganya sepenuh masa semula sejak sebulan lalu.Pasangan itu yang telah berkahwin setahun lalu turut mempunyai seorang bayi lelaki berusia tiga bulan.Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin berkata, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
"Pemeriksaan lanjut doktor tidak menunjukkan sebarang kecederaan lain seperti serangan seksual. Punca sebenar kematian hanya akan diketahui setelah bedah siasat dilakukan ke atas mayat mangsa."Buat masa ini, polis menahan ibu kandung dan bapa tiri mangsa untuk siasatan lanjut. Polis akan menyiasat kes itu daripada pelbagai sudut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

 Pada 4 Mac lalu, Harreswaral yang merupakan anak tunggal penerbit filem bebas, A. Karigalan dan K. Thilagawathy, disahkan mati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kira-kira pukul 12 tengah malam, akibat kecederaan serius di seluruh badan. Kejadian itu berlaku genap seminggu selepas kematian Syafiah Humairah, 3, yang didakwa didera oleh teman lelaki ibunya, Mohd. Fazli Azri Jamil, 28.Dalam pada itu, seorang jiran Swee Hui yang hanya mahu dikenali sebagai Shamsul, 30, berkata, dia sering mendengar jeritan dan tangisan mangsa dari rumahnya di tingkat dua pangsapuri berkenaan.Menurutnya, dia dan jiran-jiran lain menyedari perkara itu namun menyangka ia merupakan perkara biasa."Kadang-kadang jeritan dan tangisan didengari pada lewat tengah malam dan berlanjutan sehingga 10 atau 15 minit."Kami sebelum ini juga tertanya-tanya rumah mana dan akhirnya terjawab hari ini," jelasnya yang bekerja sebagai pemandu lori.
UTUSAN, 15Hb APRIL 2010.
Pekan Nabalu semakin popular

Oleh ZULHISHAM ISHAK
utusansarawak@utusan.com.my
JOEPININ Miki menyusun barang-barang cenderamata dan kraf tangan di gerainya di Pekan Nabalu, Tuaran, Sabah. - UTUSAN/Ghazali Basri

TUARAN 14 April - Jika ke Gunung Kinabalu atau pekan Kundasang melalui Jalan Ranau-Kota Kinabalu, dekat sini, tidak sah rasanya kalau tidak singgah ke Pekan Nabalu. Sama ada singgah untuk menjamu selera, membeli buah-buahan dan sayuran segar atau menikmati pemandangan kaki gunung yang indah, semua itu adalah satu tarikan di pekan tersebut.

Selain semua keistimewaan itu, Pekan Nabalu juga terkenal dengan deretan gerai menjual cenderamata dan kraf tangan yang bukan sahaja banyak pilihan tetapi juga sangat murah.

Ketika ini, terdapat lebih 100 buah gerai di pekan berkenaan yang menjual barangan tersebut iaitu kira-kira 20 kedai di tepi jalan dan lebih 40 gerai lagi di sebuah kedai panjang khas.

Jumlah itu termasuk kira-kira 40 gerai baru atas nama Kiosk Program Usahawan Mara beroperasi hampir setahun lalu yang semuanya diusahakan oleh bumiputera setempat.

Perkembangan berkenaan menjadikan pekan Nabalu yang terletak antara daerah Tuaran dan Kota Belud semakin popular sebagai pusat cenderamata dan kraf tangan.

Bagaimanapun, keadaan itu yang diharap dapat menarik lebih ramai pelancong tidak menjadi kenyataan sebaliknya menjadi tempat lambakan barangan berkenaan.

Salah seorang peniaga, Lasuyah Tinggo, 44, meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak menambah lagi bilangan gerai menjual cenderamata dan kraf tangan.

Katanya, ini kerana bilangan gerai yang menjual barangan itu sudah terlalu banyak dan mereka terpaksa bersaing antara satu sama lain untuk melariskan barangan masing-masing.

"Kadang-kadang kita lihat jumlah peniaga lebih ramai daripada pengunjung yang datang ke sini," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ibu kepada empat anak itu berkata, rata-rata peniaga di kawasan tersebut adalah golongan suri rumah dan ada di antara mereka memiliki dua atau tiga gerai sekali gus.

Peniaga lain, Mary Lai, 30, mendakwa kadang-kadang dalam sehari dia tidak memperoleh pendapatan bukan sahaja kerana gerai yang banyak tetapi juga ketiadaan pengunjung.

Menurutnya, gerai tersebut yang dibuka dari pukul 8.30 pagi hingga 6 petang, biasanya menerima kedatangan pelanggan yang ramai antara pukul 9 pagi hingga 11 tengah hari.

"Tetapi belum tentu pengunjung akan membelinya, pada masa tertentu bas persiaran akan singgah ke pekan ini dan kadang-kadang kita dapat durian runtuh walaupun terpaksa bersaing," katanya.

Ibu kepada dua anak itu berkata, pekan tersebut lazimnya lengang pada sebelah petang dan suasana itu membuatkan segelintir peniaga menutup gerai lebih awal untuk pulang.

Rakannya, Lucia Saikin, 45, mencadangkan kerajaan negeri supaya membangun dan meningkatkan kemudahan pekan itu sebagai usaha menarik lebih ramai pengunjung.

Lucia berkata, pembinaan hotel dan lebih banyak kedai makan perlu dilakukan kerana ketika ini hanya terdapat beberapa kedai makan dan tidak ada sebarang rumah penginapan.

"Dengan cara ini, kita percaya lebih ramai akan datang ke sini kerana disediakan kemudahan yang cukup. Ia secara tidak langsung akan merancakkan lagi ekonomi pekan ini," ujarnya.

Dia yakin, melalui cara tersebut, pekan Nabalu akan semakin dikenali kerana sebelum ini memang sudah terkenal sebagai tempat pengeluar nenas utama di negeri ini.

Bagi Joepinin Miki, 31, membantu peniaga-peniaga di situ adalah sama seperti membantu penduduk di luar bandar daerah tersebut dan kawasan sekitarnya.

Ini kerana katanya, kebanyakan cenderamata dan kraf tangan adalah hasil kerja penduduk kampung yang berusaha menambah sumber pendapatan dengan cara itu.

"Terdapat peniaga yang mengambil hasil orang kampung secara terus di kampung-kampung dan ada juga yang menghantar terus ke pekan ini pada masa tertentu.

"Sekiranya peniaga di sini dapat untung penduduk kampung juga akan turut merasai manfaatnya walaupun tidak seberapa," kata bapa kepada seorang anak itu.

Menurutnya, para peniaga di situ mendapat bantuan Majlis Amanah Rakyat (Mara) selain mendapat pinjaman modal RM2,000 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Semua peniaga di situ katanya, dari kampung-kampung berdekatan pekan itu dan selain meniaga mereka juga berkebun sambil menanam padi bukit untuk menambah pendapatan.

Untuk itu katanya, adalah wajar sekiranya peniaga-peniaga tersebut dibantu kerana kebanyakan mereka berpendapatan rendah dan masih hidup di bawah paras kemiskinan.
-UTUSAN, 15 APRIL 2010
Teknik baru didik kanak-kanak autistik


WASHINGTON: Kejayaan Sekolah Ivymount di Rockville, dekat sini, membantu kanak-kanak autistik supaya lebih berkeyakinan dan mampu berinteraksi melalui teknik pengajaran dengan muzik, nyanyian serta tarian menarik perhatian Datin Seri Rosmah Mansor.
Isteri Perdana Menteri berkata, kejayaan sekolah itu, yang adalah sekolah harian bukan berasaskan keuntungan ‘amat memberangsangkan’.
"Walaupun kanak-kanak ini lembam dan autisme, tetapi mempunyai bakat yang tersendiri dalam diri mereka, dan jika diberi pendedahan dalam muzik, mereka bukan saja ada bakat tetapi juga mampu mengubah lagu," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, kelmarin.
Rosmah, yang juga Presiden Bakti, berkata demikian selepas mengadakan lawa-tan bersama anggota badan itu ke Sekolah Ivymount, yang terletak kira-kira 20 kilometer dari ibu kota Amerika Syarikat.
Sekolah itu yang ditubuhkan hampir 50 tahun lalu bermula dengan seorang pelajar kini mempunyai lebih 200 pelajar berumur empat hingga 21 tahun.
Rosmah juga amat tertarik dengan sistem pengajaran sekolah itu yang turut mengajar pelajarnya berdikari dengan menjual makanan dan mengutip derma untuk mangsa bencana alam yang adalah satu pembelajaran mengenai tanggungjawab sosial.
Beliau berkata, pihaknya banyak belajar daripada lawatan itu dan yakin jika mendapat dorongan serta geran daripada kerajaan, mampu mewujudkan sekolah seumpamanya di Malaysia.
Terdahulu, semasa berucap Rosmah berkata, antara sebab Bakti mengadakan lawatan itu adalah untuk mempelajari teknik baru yang digunakan sekolah yang menawarkan pendidikan kanak-kanak istimewa, untuk digunakan di Malaysia.
Rosmah berada di Washington mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam rangka lawatan dan menghadiri Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear, bermula Isnin lalu atas jemputan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.
Lawatan Rosmah turut disertai lebih 20 anggota Bakti, termasuk isteri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datin Seri Masnah Rais, isteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah
BERITA HARIAN ONLINE, 15 APRIL 2010

Tuesday, April 13, 2010

Membela pendidikan pedalaman Sabah
Oleh ROZIE JUMAT

ROMBONGAN Mohd. Puad ke lima buah sekolah pedalaman di Pensiangan, Sabah terpaksa melalui tiga batang sungai yang cetek hingga terpaksa mengangkat dan menolak perahu.

"TAK kenal maka tak cinta." Itulah ungkapan yang sering bermain dalam fikiran Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang selama ini hanya mendengar keluhan rakyat Sabah dari jauh terutama yang berkaitan masalah sekolah di kawasan luar bandar di negeri itu.
Berbekalkan keazaman untuk membela nasib warga pendidik dan pelajar sekolah di luar bandar, rombongan Kementerian Pelajaran baru-baru ini melakukan satu perjalanan yang jarang sekali dilakukan oleh orang Kuala Lumpur.
Mohd. Puad dan rombongannya sanggup berjalan kaki menyusuri sungai, bukit-bukau dan meredah hutan belantara sejauh 12 kilometer (km) dari Kampung Kuala Sinapar, ke Sekolah Kebangsaan (SK) Saliliran, Pensiangan yang terletak berhampiran dengan sempadan wilayah Kalimatan Timur, Indonesia.
Sebaik tiba di SK Saliliran, rombongan Mohd. Puad menyelami cara hidup dan pelbagai masalah yang dihadapi oleh penduduk terutama berkaitan pendidikan dan keciciran pelajar.

"Selama ini saya hanya dengar keluhan rakyat di sini melalui wakil rakyat mereka dan hari ini saya lihat rungutan mereka ternyata berasas.
"Saya amat bertuah berada di sini. Walaupun baru sampai saya dapat merasakan apa yang orang kampung harapkan selama ini, kita perlu tolong mereka," katanya kepada pemberita yang mengikuti beliau ke kawasan terpencil itu.

Program turun padang memberi harapan baru kepada penduduk luar bandar khususnya di daerah Nabawan. Daerah kecil Pegalungan dan perkampungan sekitar Pensiangan terletak di bawah jagaan Pejabat Daerah Nabawan. Selama ini hanya mereka yang tahan dan bersemangat mampu meneruskan pendidikan sehingga ke sekolah menengah di Nabawan atau di Keningau iaitu dua bahagian pedalaman di Sabah.

Sempena lawatan kerja selama tiga hari itu, Mohd. Puad mengumumkan pembinaan lebih banyak asrama di kawasan luar bandar dan sebuah sekolah menengah rendah di pekan Pensiangan, sebuah kawasan strategik yang pernah menjadi pusat pentadbiran bagi daerah Pensiangan Nabawan satu ketika dahulu. "Pembinaan asrama ini amat penting bagi mengatasi masalah murid yang terpaksa berjalan kaki meredah hutan ke sekolah. Terutamanya pelajar atau murid SK Saliliran yang terdiri daripada penduduk Kampung Saliliran, Kampung Lilimpi, Kampung Siubol, Kampung Holobon, Kampung Tampuluk dan Kampung Malalia.

"SK Saliliran adalah sekolah pilihan mereka kerana di sekitar kawasan itu tidak ada sekolah rendah dan kedudukan geografinya yang berbukit-bukau dan berjauhan antara satu dengan yang lain," kata beliau. Berdasarkan tinjauan, antara kekangan utama mengapa berlakunya keciciran ialah faktor kemiskinan serta jarak sekolah yang jauh dari kampung asal pelajar. Sebenarnya, isu seumpama inilah yang cuba diatasi segera oleh Kementerian Pelajaran yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat termasuk di luar bandar, yang jelas menuntut pengorbanan besar termasuk mengadakan program turun padang seperti yang dilakukan di Nabawan.


MOHD. PUAD beramah mesra dengan murid-murid berketurunan Murut di Sekolah Kebangsaan Tinanduk dalam siri lawatannya ke enam buah sekolah di pedalaman Pensiangan, Sabah baru-baru ini.


Mohd. Puad berkata, sebagai contoh murid dari Kampung Kabu iaitu kampung yang bersempadan dengan Lumbis, Indonesia di Nabawan mengambil inisiatif menjadikan sebuah rumah guru sebagai asrama. Penduduk kampung secara bergilir-gilir setahun sekali akan menjaga penghuni asrama itu.
"Hanya apabila cuti sekolah, mereka akan pulang ke kampung dengan meredah hutan selama lapan jam dan berhadapan dengan pelbagai cabaran ketika dalam perjalanan termasuk ancaman binatang buas," katanya.


Kos pengangkutan
Mohd. Puad berkata, sebagai individu yang bertanggungjawab dalam soal pendidikan beliau akan memastikan masalah yang dihadapi murid dan warga pendidik di sekolah-sekolah terpencil diatasi.
Sementara itu, Antabu Enih yang merupakan Ketua Kampung Kabu menyambut baik cadangan kerajaan untuk membina sebuah sekolah menengah di kawasan itu."Dengan adanya sebuah sekolah menengah di kawasan ini sudah pasti lebih ramai pelajar dari mukim ini dapat meneruskan pelajaran di peringkat sekolah menengah.
"Untuk bersekolah di Nabawan, ia memerlukan perbelanjaan yang cukup besar termasuk kos pengangkutan yang tinggi. Sebab itulah ramai pelajar yang tercicir dan apabila ada sekolah menengah di Pensiangan sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami," kata Antabu.
Antabu mempunyai dua orang anak bersekolah di Nabawan. Tidak lama lagi seorang lagi anaknya akan masuk ke alam persekolahan. Anak sulungnya kini bersekolah di Indonesia yang terletak di kawasan sempadan Pensiangan-Kalimatan Timur dan menumpang dengan saudara-mara.
Bagi Pengerusi JKKK Kampung Saliliran, Agim Sula, perhatian yang diberi oleh kerajaan untuk membangunkan rakyat melalui pendidikan dapat dilihat daripada kesungguhan yang ditunjukkan oleh Mohd. Puad yang sanggup berjalan kaki untuk melihat sendiri keperluan penduduk di kawasan itu.Selain SK Saliliran, Mohd. Puad turut melawat SK Kuala Salong, SK Pensiangan, SK Loggongon, SK Tinanduk dan SK Sibanggali dalam lingkungan kawasan daerah kecil Pagalungan.
Turut menyertai rombongan itu ialah Pengarah Pelajaran Sabah, Dr. Muhiddin Yusin, Ketua UMNO Pensiangan, Datuk Abdul Ghani Datuk Yassin dan Pegawai Pelajaran Daerah Nabawan, Osman Aganduk.
 - Bernama, KOSMO ONLINE
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.aspy=2010&dt=0315&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm,%2013, 13 April 2010

Monday, April 12, 2010

DENGKI SESAMA KAWAN KERJA
Oleh: Shamrin Mat Janih
12Hb April 2010
Situasi yang selau wujud dan dengar dalam suasana pejabat dan tempat kerja kita sehari-hari. Tidak kira lah dari serendah-rendah jawatan hingga lah ke jawatan tertinggi, pasti kita selalu mendengar si Polan A memburuk-burukkan si Polan B. Ironinya dengki sesame kawan kerja ini berlaku seolah-olah perang dingin dan jarang secara bersemuka. Minggu ini, mari kita sama-sama mengupas persoalan dengki sesama kawan di tempat kerja. Mengapa berlakunya situasi sebegini di kalangan kita dan di kalangan kawan kita.

FAKTOR-FAKTOR YANG MENJADI PENYEBAB SIKAP DENGKI INI IALAH
A). KAWAN KITA YANG RAJIN
Bila ada seorang kaawan yang rajin dan bersungguh-sungguh bekerja, maka mula lah wujudnya anasir-anasir gossip Si Polan A mengata tentang kerajinan si Polan B. “Ala si Polan B tu saja tunjuk rajin mahu mengampu bos lah tu”. Walhal realitinya, si Polan B memang seorang pekerja yang baik, rajin dan bersungguh-bersungguh bekerja dan hakikatnya si Polan A yang memang kaki pengampu bos.

B). KAWAN LEBIH MENDAPAT PERHATIAN
Selalunya nila kita sebagai senior, memang tidak dinafikan kita lebih berpengalaman dan berpengetahuan. Entah mengapa suatu ketika datang seorang pekerja baru bekerja yang muda dan berpendidikan. Dalama erti kata lain freshlah dengan semangat-semangat baru, dengan idea-idea baru yang bernas dan excited buat kerja lah. Maklumlah semangat baru kerja kan. Kalaupun mungkin dia kurang pengalaman tetapi oleh kerana dia berpendidikan dan pangkat pula lebih tinggi, maka kita yang senior ini langsung terlepas pandang. Maka bermula lah unsure dengki dalam hati kita. Bermula lah misi-misi mencari pengalaman sijunior tadi.

C). KAWAN TERLALU MENGADA-ADA.
Namun ada kalanya pula, memang si kawan ini rajin, mendapat perhatian dan berpendidikan, tetapi oleh kerana terlalu dapat pujian, mula lah tu mengada-ada. Kawan yang selama ini banyak membatu kita pun, sudah tidak dipandang. Si kawan ini pun berkecil hati lah. Masalahnya pula, kalaupun mungkin si kawan ni tak kata apa-apa, kawan-kawan lain pula mula berbisik umpatan berunsurkan dengki-mendengki.

D). KAWAN YANG TIDAK MAHU KALAH
Ini normallah, normal berlaku dalam masyarakat kita, tak pernah senang tengok orang lain atau kawan kita sendiri senang. Kawan naik pangkat, kawan naik gaji, bahkan kawan tukar kereta pun boleh mewujudkan rasa dengki. Bila tengok si Kawan maju ke hadapan, mula lah timbul rasa tidak senang hati, mulalah mencari-cari kelemahan si kawan itu. Contohnya bila kawan naik pangkat saja, mesti adalah yang berbisik-bisik “ala dia senang lah naik pangkat, cable kuat, tu lah naik pangkat”

E). FANATIK KUMPULAN SENDIRI
Selalu juga wujud kelompok-kelompok kumpulan dalam suasana kerja harian kita. Mungkin kumpulan A, jenis yang berkawan dengan semua orang, kumpulan B jenis yang rajin. Kumpulan C, kaki pengampu, kaki curi tulang dan kaki lepak. Mungkin tiada masalah bagi kumpulan A kerana kumpulan ini berkawan dengan semua orang. Tapi masalahnya ialah kumpulan B dan C. Kalau ada kalangan kumpulan B naik pangkatkah, mula lah kumpulan C ini menyebarkan unsure-unsur kedengkian mereka dan ahli-ahli dalam kumpulan B, pastinya akan mempertahankan ahli kumpulan mereka.

Itulah antara lima faktor yang menjadi punca mengapa terjadi rasa dengki di kalangan kawan-kawan kita di tempat kerja. Mungkin kalau dibincangkan secara ilmiah mengenai perkara ini, pasti kita akan menemuai bermacam-macam faktor yang menjadi punca kepada rasa dengki ini, namun apa yang penting dalam era kemajuan hari ini, apa salahnya kita sama-sama maju kehadapan, tolong-menolong dan saling ingat mengingati, baru lah ia bersesuaian dengan slogan 1Malaysia.
MACAM-MACAM


Suspek pecah masuk rumah Din Beramboi diburu
2010/04/07
KUALA LUMPUR: Polis meminta kerjasama orang ramai untuk mengenal pasti suspek yang memecah masuk rumah Allahyarham Din Beramboi di Sungai Buaya, Rawang dekat sini sehingga mengakibatkan kerugian bernilai lebih RM20,000. Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi, berkata siasatan terperinci dan dari pelbagai aspek, termasuk pemeriksaan kesan cap jari sedang dijalankan. “Kita memandang serius kejadian ini lebih-lebih lagi ia dilakukan ketika keluarga mangsa bersedih di atas pemergian Allahyarham. Saya beri jaminan akan menyiasat kes ini secara menyeluruh. “Bagaimanapun, masih belum ada sebarang perkembangan setakat ini,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam Ahad lalu, suspek memecah masuk rumah mangsa melalui pintu belakang selepas menyedari isteri dan anak pelawak yang meninggal dunia enam hari lalu tiada di rumah. Kejadian hanya disedari jiran yang ingin memberi makan kepada beberapa ekor kucing peliharaan keluarga Allahyarham kira-kira jam 8 pagi kelmarin selepas mendapati pintu jeriji besi dapur rumah mangsa terbuka, selain ada kesan umpilan
-BERITA HARIAN
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SuspekpecahmasukrumahDinBeramboidiburu/Article


8 jam makan rasuah, aksi seks
2010/04/08
BEIJING: Seorang pegawai China ditahan selepas didakwa menerima rasuah untuk membolehkan beliau membayar perkhidmatan seks selepas merancang untuk tidur bersama lebih 800 wanita. Aktiviti ketua jabatan berusia 47 tahun di timur Anqing itu diketahui isterinya bulan lalu selepas wanita itu menemui diari mengandungi rekod terperinci temujanji seksual dan bayaran rasuah kepada suaminya itu, lapor Dahe Daily. Lelaki berkenaan dikenali Wang Cheng secara rahsia turut merakamkan perbuatannya melalui video dan menyimpannya dalam cakera mudah alih yang ditemui dalam diari, katanya. “Beliau sibuk lapan jam sehari untuk mendapatkan rasuah dan lapan jam lagi untuk seks,” kata akhbar yang memetik pendakwa. Menurut diari seawal 2003 itu, Wang mempunyai sasaran untuk tidur dengan sekurang-kurangnya 56 wanita setahun selain mempunyai dua wanita simpanan daripada keluarga yang dihormati. Dalam usaha mencapai matlamat itu, Wang mahu mengumpul wang rasuah sebanyak 100,000 yuan (RM47,100) kira-kira lima kali daripada gaji tahunannya. – AFP
-BERITA HARIAN

Tolak seks, isteri melecur kena simbah cuka getah
2010/04/09
KUANTAN: Seorang tukang cuci melecur muka dan belakang badannya disimbah cuka getah oleh suaminya yang berang apabila keinginannya untuk melakukan hubungan seks ditolak, di Felda Bukit Sagu 2, dekat sini, awal pagi kelmarin. Dalam kejadian jam 1 pagi, Zarina Wahab, 40, dipercayai menolak kemahuan suaminya yang juga seorang peneroka berusia 43 tahun kerana hubungan pasangan itu menghadapi masalah dan kini dalam proses perceraian. Turut cedera dalam kejadian itu ialah anak bongsu mereka berumur tujuh tahun dan kedua-duanya kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
Ketua Polis daerah, Superintendan Zulkifli Taha, berkata kejadian berlaku selepas pertengkaran mangsa dan suaminya dalam bilik tidur dan akibat berang, lelaki terbabit mengambil sebotol cuka getah yang disimpan di dapur rumah lalu menyimbah isterinya.
Beliau berkata, simbahan itu mengenai muka, leher dan belakang badan mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Bandar Indera Mahkota, di sini.
"Dalam kesakitan akibat kulit melecur, mangsa sempat menelefon rakan sekerjanya yang tinggal berhampiran rumahnya dan memberitahu kejadian yang menimpanya lalu membawanya ke hospital,” katanya semalam. Rakan sekerja Zarina kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) jam 4.30 pagi, manakala suaminya menyerah diri di Balai Polis Panching.
Siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar tindakan nekad lelaki berkenaan menyimbah cuka getah kepada mangsa, namun polis tidak menolak kemungkinan berkaitan masalah rumah tangga dan perselisihan faham.
"Wanita terbabit kini dilaporkan stabil dan masih dirawat tetapi maklumat lengkap tahap serius melecur belum diperoleh," katanya.
Sementara itu, anak ketiga mangsa, Khairil Rohamiza, 17, yang ditemui di rumahnya petang semalam berkata, ketika kejadian dia bersama empat lagi adiknya sedang tidur di ruang tamu rumah dan tiba-tiba terdengar bunyi bising di dapur rumah.
Sebaik terjaga dari tidur, dia mendapati ibunya sedang mengerang kesakitan dan cuba menolong tetapi dihalang bapanya sambil melibas parang ke arahnya.
"Bapa kemudian terus keluar rumah dan kami mengambil air paip untuk basuh muka dan badan ibu sebelum rakan sekerja ibu yang hanya dikenali sebagai Kak Ani tiba untuk membantu," katanya.
Khairil Rohamiza berkata, ketika kejadian, tiga adiknya berumur 14, lapan dan tujuh tahun turut berada di rumah


 Anjing gonggong bayi ditinggal ibu
09/04/2010
MURRIETA, California 9 April - Dua ekor anjing telah menarik dan menggonggong bayi berusia enam bulan selepas dia ditinggalkan bersendirian oleh ibunya di dalam sebuah bekas pembawa di atas lantai.
Polis Murrieta berkata, ketika kejadian ibu bayi itu yang berusia 22 tahun sedang berada di pangsapuri rakannya di Riverside County dan meninggalkan bilik, tempat anaknya diletakkan.
Sarjan Bob Landwehr memberitahu, haiwan berkenaan menyerang, mengoyak lampin dan menggigit skrotum bayi itu.
Ibu dan rakannya yang mendengar jeritan bayi berkenaan bergegas menyelamatkannya yang kini sedang dirawat di hospital.
Keadaannya masih tidak diketahui.Polis dan perkhidmatan perlindungan kanak-kanak sedang membuat penyiasatan, namun tiada tuduhan dikemukakan. - AP
-UTUSAN ONLINE
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_04.htm

(CERITA DALAM RUANGAN MACAM-MACAM INI ADALAH SAYA PETIK DARI PEMBACAAN SAYA SEPANJANG MINGGU DALAM AKHBAR-AKHBAR ONLINE MALAYSIA. PERKARA YANG MENARIK MINAT SAYA TENTANG PERKARA-PERKARA YANG SELALU KITA TERLEPAS PANDANG DAN BERMANFAAT UNTUK KITA KONGSIKAN)
ALKISAHNYA MINGGU INI


ALKISAH 1
Ada sekumpulan pelajar sekolah rendah dari kawasan pedalaman Sabah mengikuti program lawatan sekolah mereka. Rata-rata pelajar-pelajar ini tidak pernah melihat laut secara betul-betul depan mata lah kerana kawasan perkampungan mereka terletak jauh di pedalaman.
Setelah semua aktiviti selesai, semua pelajar-pelajar ini dibawa ke pantai untuk mandi-mandi. Adalah seorang pelajar ini mengisi air laut kedalam botol mineral. Jadi salah seorang guru pengiring pun merasa hairan dan bertanya mengapa pelajar itu mengisi air masin dalam botol. Pelajar ini menjawab “saya mahu kasih rasa bapa dan mama di rumah air masin”. Guru itu hanya tergelak dengan jawapan pelajar tersebut.
AL-KISAH MINGGU INI


AL-KISAH 2
Ada seorang budak berumur tujuh (7) tahun dihantar oleh ibunya ke stesen bas Inanam, Kota Kinabalu bersendirian tetapi bila sampai kedestinasi, datuk budak itu akan mengambilnya. Didalam bas itu, budak ini duduk bersebelahan dengan seorang gadis remaja. Oleh kerana budak pompuan ni, comel dan cute, si gadis tadi pun bawalah budak itu bercerita.
Si gadis itu bertanya “adik bawa bekal makanankah tu”.
Bila melihat budak itu membawa bekas bekalan makanan.
“Ya..kakak, mama pesan kalau lapar makan dalam bas”.
Dalam 20 minit perjalanan dari Kota Kinabalu, budak itu tiba-tiba memberitahu gadis itu
“kakak..kakak..,bila sampai Ranau, bangunkan saya ya”.
Oleh kerana gadis itu juga takut tertidur semasa sampai di Ranau, dia memberitahu konduktor bas supaya membangunkan budak itu bila sampai di Ranau. Setelah dua jam perjalanan, bas pun berhenti di Pekan Ranau. Konduktor bas itu pun membangunkan budak itu.
“Adik dah sampai Ranau, ada orang tunggu kamu tidak”.
Lalu budak itu bertanya lagi
“Dah sampai Ranau ka Abang”
“Ya, da sampai Ranau ni, adakah orang ambil kamu ka”. Ulang konduktor bas itu lagi.
Budak itu menjawab
“Saya bukan turun sini, di Tawau baru datuk ada tunggu, mama pesan tadi bila sampai Ranau mesti makan”.
AUTOMATIVE
SKUTER
Shamrin Mat Janih
12Hb April 2010
Menurut Wikipedia skuter adalah sebuah motorsikal yang secara tradisonalnya mempunyai ciri-ciri seperti kerangka “boleh langkah” (step through), roda bersaiz tidak melebihi 16 inci, secara enjin yang terletak di bahagian bawah penunggangnya. Walaubagaimanapun, terdapat juga reka bentuk skuter yang lebih moden yang turut menerapkan cirri-ciri bagi klasifikasi motorsikal lain kedalamnya, misalnya Yamaha Nouvo yang menyerupai motorsikal kapcai biasa. (http://www.wikipedia.org/skuter).

Skuter kini popular di kalangan menunggung motorsikal di Malaysia yang bukan sahaja di minati oleh golongan wanita, malahan lelaki kerana pengunaannya yang mudah dan kecil. Tambahan lagi dengan kemampuan kuasa kelajuan yang menyemai kemampuan motorsikal kapcai biasa. Sehingga pemilik-pemilik Skuter ini mempunyai kelab-kelab yang besar dan terkenal. Malahan ada yang sanggup berbelanja besar untuk mengubahsuai Skuter supaya kelihatan lebih cantik dan menarik seperti airbrush dan audio system.

Menurut Akhbar Kosmo Online, di Amerika kini trend berbasikal dan Skuter jenis Vespa menjadi trend baru untuk menjadi pilihan kerana kenaikan harga minyak. Menurut Paolo Timoni, Ketua Eksekutif Piaggio Group Americcas, sebuah syarikat pengeluar Vespa Italian dan Skuter Piaggio, “Rakyat AS sukkan kereta terutamanya yang bersaiz besar, Jesteru, untuk membuat keputusan bagi menggunakan sesuatu yang berbeza ia tidak semudah yang di sangka”. Dalam tempoh tahun 1997 hingga 2007, terdapat peningkatan yang ketara dalam penjualan Skuter di AS daripada 12,000 kepada 131,000. (Skuter ganti kereta, http://www.kosmo.com.my/ 7 April 2010). Ini membuktikan yang penggunaan semakin popular bukan sahaj di Malaysia malahan di Negara-negara maju seperti Amerika.

Siti Zaleha Jorimai dalam Utusan Online yang membincangkan tentang Gadis Skuter Meredah Jalan Raya pula mengambil beberapa pandangan gadis-gadis yang menunggang skuter. Antaranya Wan Salehah Megat Hamid, 26, memilih skuter sebagai kenderaan utama untuk pergi bekerja dan berjalan-jalan. Nor Diana Modafar, 23, pula menceritakan “pengalaman jatuh motorsikal dan cedera di sana sini sememangnya sebahagian asam garam bagi penunggang motorsikal”. Sementara bagi Shazana Muhammad, 24, tentang pengalaman di ajak merempit berkata “Selalunya berlaku ketika di lampu merah. Mereka akan tekan minyak seolah-olah mengajak kita berlumba. Kalau berlaku macam itu biasanya saya buat tak tahu dan biarkan mereka lepas dahulu apabila bertukar lampu hijau”. (http://www.utusan.com.my/utusan, 7 April 2010). Jelasnya penggunaaan skuter sebenarnya amat sesuai untuk mengatasi masalah kesesakan di jalan-raya dan ia amat digunakan terutamanya untuk wanita. Kalau kita berjalan-jalan disekitar Kampus Universiti Malaysia Sabah, kita akan melihat ramai penunggang wanita menggunakan skuter.

Di Malaysia terdapat pelbagai jenis jenama Skuter untuk menjadi pilihan antaranya dari jenama Modenas, Yamaha, Mz, Honda, Suzuki dan Naza seperti Modenas Elegen 150cc, Modenas Elit Sport 150cc, Yamaha Ego 115cc, Yamah Nouvo 115cc, Yamaha Nouvo LC, Mz 125cc dan Naza GTR 170cc. Dari harga serendah RM5000 hingga lah setinggi RM9000 boleh menjadi pilihan untuk membeli sebuah Skuter Idaman kita. Namun terdapat juga jenis Skuter yang berkuasa tinggi seperti melebihi 500cc Yamaha T-Max, Honda Silver Wings dan Gilera Gip800.

Dari aspek penjagaan Skuter juga tidaklah terlalu menyusahkan, Cuma mungkin kita perlu mengikuti jadual penjagaan seperti yang di cadangkan oleh pengeluar skuter yang kita gunakan seperti pengantian minyak pelincir dan minyak gear.

Umumnya beberapa asas dalam penjagaan skuter yang perlu kita ketahuai antaranya amalan memeriksa skuter kita. Seperti kerosakan kecil dan skru longgar. Periksa juga tali sawat yang menjadi nadi utama perjalanan skuter dari habuk dan kakisan. Hantarlah servis untuk menukar minyak pelincir dan minyak gear skuter kita setelah 3000KM-5000KM. Pengantian pencucuh pula selepas 10000KM bagi memastikan kelancaran api sentiasa berada dalam keadaan baik. Kebiasaannya bateri harus ditukar dalam tempoh setahun. Begitu brek harus di pastikan berada dalam keadaan baik untuk mengelakkan sebarang kemungkinan tidak baik semasa menunggang Skuter kerana brek Skuter bergantung sepenuhnya pada brek tangan. Demikian lah secara umum penjagaan dan pengunaan Skuter, mungkin tidak begitu lengkap tapi memadai untuk pengetahuan asas kita bersama.




International Gitarist

Joe Satriani
Joe Satriani
Slash Gun N Roses
Slash Gun N Roses
Yngwie Malmsteen
Yngwie Malmsteen
John Petrucci
ADAKAH KITA KISAH
12Hb April 2010
a). Peti Kecemasan
Satu benda yang memang selalu ada di pejabat, di rumah, di kereta dan di mana pun kita berada kita akan selalu melihat satu peti kecil yang bertulis Peti Kecemasan. Umumnya kita semua maklum, Peti Kecemasan diperlukan bila ada kecemasan berlaku seperti bahan dan alat pertolongan awal, namun sejauhmana kah kita kisah tentang kepentingan Peti Kecemasan ini. Apa yang selalu berlaku ialah bila berlaku kecemasan, Peti Kecemasan ini hanya sekadar perhiasaan dan tiada ubat dan peralatan yang sepatutnya ada.

b). Membaca Label/arahan barangan/Alat
Selalunya bila ingin membeli sesuatu atau menggunakan sesuatu, jarang sekali kita membaca label atau arahan barangan atau peralatan tersebut. Contohnya makanan yang kita beli, yang kita selalu tengok ialah tanda halal, tapi jarang kit abaca label kandungannya. Begitu juga peralatan elektrik, bila sampai di rumah peralatan itu tidak sesuai dengan peralatan yang kita yang ada.

c). Tandas Awam
Satu benda yang penting dalam tandas awam, tapi selalu tiada. Iaitu penyangut. Kebanyakannya tandas sepatutnya ada tempat untuk menyangut seluarkah, tapi kebanyakan tandas tiada. Tapi adakah kita kisah.

d). Bila Makan/Minum
Kebiasaannya bila pergi menjamu selera atau duduk melepak minum kopi di restoran, kita hanya berkata bila memanggil pelayan untuk membayar “kira bos, berapa”. Bila pelayan itu memberitahu kita harga, kita terus membayar sahaja seperti yang pelayan itu sebut. Tapi adakah kita kisah, tentang harga setiap makanan atau minuman yang kita minum itu. Cuba lah sesekali bertanya secara detail tentang harga setiap makanan yang kita makan, pasti adakalanya jumlah yang dia kira depan mata kita berbeza.
KERJAYA DAN MOTIVASI
BOS YANG TERBAIK
12Hb April 2010
Bergelar bos bukanlah sesuatu yang mudah, terlalu besar cabaran dan dugaannya malahan ada juga masanya kita tidak disukai. Apa yang pasti kepimpinan seorang itu bergantung kepada diri bos itu sendiri dan sejauh mana bos itu dapat menaikkan dirinya untuk diiktiraf oleh orang bawahannya. Dalam erti kata lain, seorang bos mestilah mempunyai kreatia dan imej yang tersendiri hingga menonjolkan dirinya sebagai seorang bos yang disegani dan diharmati. Beberapa tips dibawah mungkin antara yang boleh di ambil kira untuk menjadi seorang bos yang baik.

1. PENAMPILAN
Penampilan adalah kreatia yang amat penting dalam imej seseorang bergelar bos. Penampilan disini bermaksud kekemasan akan mencerminkan nilai keperibadian seseorang individu. Penampilan ini pula bukanlah terlalu menunjuk-nunjuk tetapi lebih bersifat nilai peribadi bos yang kemas dan bersih. Ini secara langsung dapat mencerminkan budaya kerja yang kemas dan teratur.

2. KEYAKINAN
Seseorang yang bergelar bos hendaklah mempunyai pengetahuan yang luas, semasa dan terkini dengan tujuan membentuk nilai keperibadian yang berkeyakinan, logik dan matang. Ada kalanya pekerja bawahan mungkin lebih berpengetahuan samaada dari pendidikan mahupun pengalaman. Oleh itu, seseorang yang bergelar bos hendaklah selalu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan supaya mewujudkan nilai keyakinan yang tinggi. Bila bos yang berkeyakinan, maka secara tidak langsung kita akan dihormati oleh orang bawahan. Sebagai misalannya, mungkin ada usul kita sebagai seorang bos ketika mesyuarat tidak dipersetujui oleh kalangan ahli jawatankuasa mesyuarat, tapi dengan ketegasan dan keyakian berserta hujah yang baik, sudah pasti kita menyakinkan orang bawahan kita bahawa usul kita adalah terbaik dan munasabah untuk diterima.

3. MEMIMPIN
Bos juga perlu ada sikap kepimpinan yang tinggi untuk meyakinkan orang bawahan kita bawaha kita adalah pimpinan yang mampu membangunkan organisasi kita. Dalam erti kata lain, seorang bos yang baik hendaklah tahu bagaimana hendak membuat keputusan dan memberi pendapat yang bernas. Sebagai seorang bos kita semestinya mampu membuat keputusan yang tepat dan pendapat bernas supaya apapun keputusan dan pendapat yang kita beri dapat memberi manfaat kepada semua pihak. Ini secara langsung dapat menaikkan imej kita sebagai bos yang disegani dan dihormati.

4. TERBUKA
Sememangnya sebagai bos kita hendaklah tegas, namun ada kalanya kita juga perlu terbuka mendengar pendapat orang bawahan kita. Mungkin pandangan dari orang bawahan yang lebih berpengalaman secara teknikalnya lebih bernas dan baik. Sebagai misalannya, dalam pengurusan sesuatu situasi kritikal mungkin kita memerlukan orang bawahan yang pernah menguruskan perkara-perkara tertentu yang memerlukan kepakaran mereka. Selalu terjadi dalam suasana pejabat, apabila pandangan orang bawahan tidak di ambil kira, kerana bos berpendapat bahawa orang bawahannya tidak mempunyai pendidikan tinggi, tidak seperti bos yang selalu berpendidikan ijazah. Bagaimanapun kita sekali-kala kena juga berbalik pada kata-kata, sapa yang lebih dulu makan garam, mungkin secara ilmiah mereka ini tidak berpengetahuan, tetapi secara teknikalnya mereka mempunyai kepakaran berdasarkan kepada pengalaman mereka.

5. PROFESIONAL
Perkara penting menjadi bos yang terbaik adalah nilai professional. Maksudnya di sini, dalam apa juga keadaan kita hendaklah bertindak secara rasional dan matang. Dalam budaya kerja yang berdaya saing selalunya kita tidak lari dari sikap hasat dengki dan cemburu dikalangan orang bawahan sebagai misalanya, maka sebagai seorang bos kita hendaklah mengatasi situasi sebegini secara lebih professional dan matang. Mungkin secara tidak sedar ada kalangan orang bawahan kita yang bersikap talam dua muka, yang mengapi-apikan diri kita, ataupun dengan niat tidak terhadap rakan-rakan mereka yang lain.
PUISI MINGGU INI

SESUATU PADA HATI MU

Tiada serungaki kata-kata indah,
Mampu menjadi bicara,
Tidak mungkin dapat aku ciptakan,
Bisikan pada hati ini,
Pada hati kau.

Kerna sebenarnya,
Bisikan pada hat ini,
Ada didalam hati kau,
Yang seakan cuba kau tidakkan.

Namun harus kau mengerti,
Bisikan pada hati kau itu,
Tidak akan berdusta,
Tentang apa,
Yang sedang,
Bermain dimndamu.


Harus bagi kau,
Percaya tentang keikhlasan hati.
Kerna keikhlasan hati itu,
Sungguh tinggi maknanya,
Agar nanti tidak menjadi,
Satu igauan,
Antara kau dan aku.
Aku igaukan keperihan pada keikhlasan,
Kau pasti igaukan makna keikhlasan itu.

SUTERA PUTIH
KOLEJ KEDIAMAN KURNIA PERDANA
RUMAH BANDAR DUA
2003,
KERJAYA DAN MOTIVASI


TIPS MEMULAKAN KERJAYA
12hb April 2010
Kebiasaannya selalu terjadi, setelah menamatkan pengajian kita menjadi terpinga-pinga tentang arah tuju kerjaya yang ingin diceburi. Sehingga kita tersilap memilih kerjaya yang bersesuaian dan terlalu sukar mendapatkan pekerjaan. Ada enam perkara yang patut di ambil kita ketika hendak memulakan kerjaya iaitu:

A). BUAT ANALISIS
Kenalpasti lah cara-cara dan keadah yang bersesuain dalam pendekatan untuk mendapatkan pekerjaaan yang paling berkesan. Paling penting rajin bertanya kepada mereka yang telah Berjaya dalam kerjaya mereka.

B). MENDALAMI TENTANG DIRI KITA
Kita seharusnya tahu tentang kemampuan, kebolehan dan kelemahan kita berbanding dengan orang lain termasuklah kelayakan akademik, cita-cita dan kebolehan semulajadi yang kita miliki. Kemudian barulah kita membina imej, keyakinan terhadap diri sendiri, personaliti dan minat.

C). MEMPERLENGKAPKAN DIRI
Kita perlu mempunyai matlamat dan moto kita sendiri tentang apa yang harus kita capai serta apa sasaran masa untuk mencapai matlamat tersebut.

D). MENGKAJI PASARAN SEMASA
Dalam proses memulakan kerjaya, kita juga seharusnya memahami apakah trend semasa pasaran tenaga kerja. Contohnya, adakah kemahiran tertentu diperlukan seperti kemahiran IT dan kebolehan berkomunikasi dalam bahasa inggeris. Apabila kita mengetahuai pasaran semasa tersebut, kita pastinya dapat mempersiapkan diri kita dalam bidang yang ingin kita ceburi.

E). PERSEDIAAN TEMUDUGA
Temuduga adalah perkara terpenting yang patut kita buat persediaan dengan sebaik-baiknya. Termasuk keyakinan diri dan perkara-perkara kecil seperti perlakuan serta tatatertib berpakaian. Juga perkara yang paling utama diambil kita semasa temuduga ialah persediaan resume dan dokumen-dokumen penting seperti sijil-sijil kelayakan akademik dan dokumen pengenalan diri. Ini kerana dalam temuduga adalah beberapa perkara yang kita perlu tahu iaitu penemuduga adalah spektikal dan mereka akan membandingkan kita dengan orang lain. Selain itu juga, kita juga perlu menyusun masa dengan baik termasuklah pengangkutan dan perbelanjaan semasa hendak pergi temuduga.
KERJAYA DAN MOTIVASI


CINTA YANG ANDA INGINKAN
12Hb April 2010
Cinta sememangnya indah, manis untuk jatuh cinta, bahagian bila kita dicintai dan manisnya kehidupan bila ada rasa mencintai dan dicintai. Mari kerenungkan tujuh perkara berikut tentang bagaimana kita mengekalkan ikatan cinta berkekalan

A). BINA KESEIMBANGAN CINTA
Untuk menyatukan dua insan berdua iaitu antara lelaki dan perempuan menjadi satu dalam cinta bukanlah sesuatu mudah berlaku. Menyatukan dua insan ini untuk saling memahami, mencintai dan menyayangi memerlukan satu tempoh masa tertentu untuk membina keseimbangan pemahaman antara satu sama lain. Walaupun keseimbangan cinta ini mungkin memerlukan masa, tapi lakukanlah sesuatu supaya setiap seorang dapat rasa dihargai. Bila kedua-dua insan ini dapat merasa diri dihargai, keseimbangan akan mula terbentuk.

B). REACH OUT
Sentuhan dapat menyampaikan rasa saling mencintai dan menyayangi secara lisan. Contohnya, memotong kuku pasangan kita dan berjalan sambil berpegangan tangan. Mungkin sentuhan ini adalah bahasa lisan yang tersirat, tapi nilai-nilai komunikasi nonverbal yang wujud akan menyampaikan komunikasi kasih-sayang secara lisan.

C). TIDAK SIAPA YANG SEMPURNA
Sebagai manusia biasa kita tidak lari dari rasa marah sedih, boring dan stress. Mungkin adakalanya kita perlu lebih mengambil berat, menjadi seorang yang bermotivasi atau menjadi seorang pendengar. Apapun, wujudnya dua insan iaitu lelaki dan perempuan adalah untuk saling melengkapi.

D). SUNTIK SEMANGAT CINTA
Perkara penting yang mesti dikekalkan ialah adanya daya tarikan antara satu sama lain. Mungkin setelah sekian lama bersama, kita memerlukan pembaharuan dalam suntikan cinta kita supaya selalu kekal segar dan mekar. Contohnya berjogging bersama. Mungkin aktiviti ini agak memenatkan juga, tetapi setelah berjoging, kita berpeluang bersama-sama merehatkan diri. Saat ini kita mungkin dapat melapkan peluh pasangan kita. Satu perkara kecil, tapi cukup bermakna buat pasangan kita.

E). KONFLIK YANG ADIL
Konflik dalam hubungan cinta dan perkahwinan adalah perkara normal dan perkara yang paling penting adalah sejauhmana kita mengatasinya dengan jalan yang terbaik. Antaranya, mungkin kita cuba sedaya upaya untuk mengekalkan konflik daripada berlaku, contohnya bila wujud perkara yang mungkin mengundang konflik, tukarlah kepada topik lain. Apapun ambil lah pendekatan lebih matang seperti mendiamkan diri dan kemudian bila keadaan redah, baru lah kita berbincangan mengenai perkara tersebut.

F). KESESUAIAN MASA DAN TEMPAT
Oleh kerana kita sudah biasa dengan pasangan kita, kita jarang mengendahkan kesesuaian masa dan tempat tentang sesuatu. Contohnya cara guruan kita. Walaupun adakalanya kita sekadar bergurau, tapi kadang-kadang tanpa kita sedari kita menyinggung perasaan pasangan kita. Mungkin kita secara tidak sengaja memalukan pasangan kita didepan kawan-kawan kita tentang keburukan pasangan kita.

G). BUKA TELINGA KITA
Perkara terakhir dan teramat penting ialah kurangkan bercakap dan jadi lah pendengar. Sikap menyalahkan pasangan kita, ego dan pentingkan diri sendiri selalu akan membawa jalan pengakhiran yang tidak baik. Sebolehnya ketika pasangan kita sedang bercakap, jadikan seorang pendengar dan jangan sesekali menyampuk. Biarlah kita dapat merasakan apa yang sebenarnya ada di hati pasangan kita. Bila dapat merasai apa yang pasangan kita rasa, secara tidak langsung kita akan dapat memahami situasinya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails