Thursday, April 15, 2010

Teknik baru didik kanak-kanak autistik


WASHINGTON: Kejayaan Sekolah Ivymount di Rockville, dekat sini, membantu kanak-kanak autistik supaya lebih berkeyakinan dan mampu berinteraksi melalui teknik pengajaran dengan muzik, nyanyian serta tarian menarik perhatian Datin Seri Rosmah Mansor.
Isteri Perdana Menteri berkata, kejayaan sekolah itu, yang adalah sekolah harian bukan berasaskan keuntungan ‘amat memberangsangkan’.
"Walaupun kanak-kanak ini lembam dan autisme, tetapi mempunyai bakat yang tersendiri dalam diri mereka, dan jika diberi pendedahan dalam muzik, mereka bukan saja ada bakat tetapi juga mampu mengubah lagu," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, kelmarin.
Rosmah, yang juga Presiden Bakti, berkata demikian selepas mengadakan lawa-tan bersama anggota badan itu ke Sekolah Ivymount, yang terletak kira-kira 20 kilometer dari ibu kota Amerika Syarikat.
Sekolah itu yang ditubuhkan hampir 50 tahun lalu bermula dengan seorang pelajar kini mempunyai lebih 200 pelajar berumur empat hingga 21 tahun.
Rosmah juga amat tertarik dengan sistem pengajaran sekolah itu yang turut mengajar pelajarnya berdikari dengan menjual makanan dan mengutip derma untuk mangsa bencana alam yang adalah satu pembelajaran mengenai tanggungjawab sosial.
Beliau berkata, pihaknya banyak belajar daripada lawatan itu dan yakin jika mendapat dorongan serta geran daripada kerajaan, mampu mewujudkan sekolah seumpamanya di Malaysia.
Terdahulu, semasa berucap Rosmah berkata, antara sebab Bakti mengadakan lawatan itu adalah untuk mempelajari teknik baru yang digunakan sekolah yang menawarkan pendidikan kanak-kanak istimewa, untuk digunakan di Malaysia.
Rosmah berada di Washington mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam rangka lawatan dan menghadiri Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear, bermula Isnin lalu atas jemputan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.
Lawatan Rosmah turut disertai lebih 20 anggota Bakti, termasuk isteri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datin Seri Masnah Rais, isteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah
BERITA HARIAN ONLINE, 15 APRIL 2010

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails